Suddenly I think I always knew I had my share of mistakes...
Made quite a few...Finally I know and that's for sure
I don't look back in anger anymore....
Ramadhan (bahasa Arab:رمضان) (biasa digelar "Ramadhan Al-Mubarak") merupakan bulan ke-9 dan bulan paling suci dalam Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Bulan Ramadhan merupakan masa untuk umat Islam berfikir dan merenung diri sendiri, bersolat, membuat kebajikan dan meluangkan masa dengan keluarga serta sahabat handai. Diharapkan dengan berpuasa dari fajar hingga senja umat Islam akan dapat mempertingkatkan disiplin diri dan menjadi pemurah, dengan mengingati kesusahan hidup sebahagian manusia yang miskin papa.
Pada bulan ini umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Qur'an pada surah Al-Baqarah ayat 185 yang ertinya: "bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barangsiapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu..."
Ramadhan berasal dari kata akar ر م ض , yang bererti panas yang menyengat atau kekeringan, khususnya pada tanah. Dari kata akar tersebut kata Ramadhan digunakan untuk menunjukkan adanya sensasi panas ketika seseorang itu kehausan. Pendapat lain mengatakan bahwa kata Ramadhan digunakan kerana pada bulan itu dosa-dosa dihapuskan oleh perbuatan baik sebagaimana matahari membakar tanah. Hal ini dikiaskan dengan umat Islam yang mengambil kesempatan Ramadhan untuk serius mencairkan, memuhasabah dan memperbaharui kekuatan jasmani, rohani dan tingkah lakunya, sebagaimana panas mewakili sesuatu yang dapat mencairkan bahan.
Penetuan Ramadhan Takwim Hijrah didasarkan pada orbit bulan mengelilingi bumi dan awal setiap bulan ditetapkan saat terjadinya hilal (bulan sabit). Kaedah penentuan saat terjadinya hilal yang digunakan ketika ini ada dua, iaitu kaedah penglihatan dengan mata kasar ("rukyah") dan kaedah perhitungan astronomi("hisab").
Sesetengah negara menggunakan rukyah sahaja manakala sesetengah yang lain menggunakan nisab sahaja. Dunia Melayu amnya menggunakan kedua-dua kaedah sekaligus.
Turunnya AL-Quran
Para ulama bersetuju bahawa al-Qur'an mula diturunkan pada bulan Ramadhan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahlu sunnah wal jamaah menerima bahawa al-Qur'an diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadhan dan oleh itu 17 Ramadhan diperingati sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul Qur'an) buat pertama kalinya (terdapat juga perbezaan pendapat mengenai perlu tidaknya peristiwa ini dirayakan. Pada malam tersebut surah Al-‘Alaq ayat 1 hingga 5 diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w sedang berada di Gua Hir'. Peringatan peristiwa ini biasanya dilakukan dengan acara ceramah di masjid-masjid.
Lailatul Qadar
Lailatul Qadar (malam ketetapan), adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Malam ini dikatakan dalam al-Qur'an pada surah Al-Qadr, lebih baik daripada seribu bulan . Saat pasti berlangsungnya malam ini tidak diketahui namun menurut beberapa riwayat, malam ini jatuh pada 10 malam terakhir pada bulan Ramadhan, tepatnya pada salah satu malam ganjil yakni malam ke-21, 23, 25, 27 atau ke-29. Sebahagian Muslim biasanya berusaha tidak melewatkan malam ini dengan menjaga diri agar berjaga pada malam-malam terakhir Ramadhan sambil beribadah sepanjang malam.
Puasa Ramadhan
Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan dari segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, berkata-kata yang buruk atau sia-sia, dan daripada bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur sesama sendiri. Maka secara tidak langsung, puasa juga menolong menanam sikap yang baik dan berbudi. Dan kesemuanya itu diharapkan berlanjutan ke bulan-bulan berikutnya, dan tidak hanya pada bulan puasa.
Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan puasa itu kepada 3 tingkatan:
1. Puasanya orang awam (shaum al-'umum): menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum. 2. Puasanya orang khusus (shaum al-khusus): turut berpuasa dari panca indera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa. 3. Puasanya orang istimewa, super khusus (shaum al-khawasi al-khawas): turut berpuasa 'hati nurani', iaitu tidak memikirkan sangat soal keduniaan
Pembahagian di atas memberikan umat Islam ruang untuk berfikir dan menelaah tingkat manakah mereka berada.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa. Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain. Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.
Solat Tarawih
Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadhan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah.
Zakat Fitrah
Zakat fitrah adalah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadhan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini. Nilai zakat fitrah yang harus dikeluarkan per individu adalah satu gantang makanan ruji di daerah bersangkutan. Jumlah ini adalah setara dengan 2.70 kg beras.